Foto atau gambar kaku telah digunakan sejak berzaman oleh
golongan pendidik untuk tujuan pembelajaran, percambahan fikiran, menjana
ingatan, pemikiran visualisasi, penyelesaian masalah serta meransang pemikiran
murid menjadi lebih kreatif dan kritis. Gambar kaku juga merupakan sebahagian
daripada media pengajaran yang biasa digunakan oleh guru dalam membantu proses
pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, namun penggunaan media jenis ini
memerlukan strategi yang teliti bagi memastikan penggunaan media ini mampu
memberikan impak yang besar didalam proses pengajaran dan pembelajaran. Terdapat
beberapa strategi pengajaran yang melibatkan media gambar kaku boleh diguna
pakai oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran contohnya seperti memberikan
penjelasan kepada murid tentang gambaran sesuatu peristiwa, menjadikan gambar
yang diambil sebagai kad imbasan dan sebagainya. Kajian yang dibuat oleh
beberapa orang pakar pendidikan mengenai keberkesanan pengajaran dengan
menggunakan alat bantu mengajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran
didapati amat signifikan dan menurut P.J.Philips & James S.Kinder, manusia
menggunakan 83 peratus deria penglihatan dalam aktiviti kehidupan seharian.
Perkara ini memberi maksud, rangsangan terhadap deria penglihatan mampu memberi
impak yang lebih baik dalam proses pembelajaran murid. Pelaksanaan bahan bantu
mengajar seperti gambar kaku dilihat mempunyai beberapa kepentingan yang utama.
Antaranya ialah merangsang fikiran, perasaan, perhatian, minat serta perhatian
pelajar dan seterusnya terjadinya proses pembelajaran.
Pelbagai strategi pengajaran boleh dilaksanakan dengan
menggunakan imej atau gambar kaku yang dirakam dalam kehidupan seharian kita. Gambar
kaku adalah bahan yang biasa digunakan oleh guru sebelum memulakan pengajaran
iaitu digunakan ketika membuat set induksi. Set induksi merupakan permulaan
penting dalam sesebuah proses pengajaran dan pembelajaran, ia bertujuan menarik
minat murid terhadap pengajaran guru dan memastikan murid bersedia untuk
meneruskan pembelajaran. Set induksi juga adalah permulaan pengajaran yang akan
memberi gambaran terhadap apa yang akan dipelajari oleh murid. Gambar kaku
dengan subjek yang berkaitan dengan pengajaran akan membantu guru menjimatkan
masa penerangan terhadap mata pelajaran dan juga dapat merangsang minat murid
terhadap pengajaran guru.
Teknik serta komposisi yang digunakan ketika mengambil gambar
amat penting untuk mewujudkan penceritaan terhadap gambar. Contohnya gambar
yang dirakam dengan teknik close up dapat menjelaskan kepada murid tentang
ketelitian subjek yang dirakam. Gambar kaku seorang kanak-kanak yang dirakam
dengan teknik close up dapat memperlihatkan secara teliti kerutan-kerutan serta
figura wajah kanak-kanak tersebut hingga mewujudkan kesan dramatik didalam
gambar. Gambar seumpama ini boleh dijadikan contoh kepada murid dalam
membezakan ekspresi wajah manusia melalui figura manusia. Dalam pembelajaran
pendidikan seni visual, gambar ini dapat dijadikan contoh kepada murid untuk
aktiviti melukis figura wajah manusia dalam bentuk lakaran secara teliti.
Selain itu pencahayaan yang terbias pada wajah menghasilkan kesan warna
permukaan sebenar subjek yang dirakam. Murid juga dapat membuat pemerhatian
terhadap warna yang ada didalam gambar secara jelas kerana rakaman gambar
melalui teknik ini tertumpu secara teliti ke atas subjek bergantung kepada
subjek yang ingin diajar oleh guru.
Pembelajaran pendidikan seni visual melibatkan sepenuhnya
elemen serta prinsip yang turut terkandung didalam teori fotografi antaranya,
keseimbangan, warna, ruang, garisan perspektifdan sebagainya. Setiap gambar
yang dirakamkan menerusi teknik dan komposisi dalam aturan fotografi dapat
dikaitkan dengan pembelajaran dalam pendidikan seni visual secara langsung.
Teknik komposisi rule of third atau sepertiga gambar dapat dikaitkan dengan
elemen ruang dan prinsip seni keseimbangan dalam pendidikan seni visual. Gambar
yang dirakam menerusi komposisi ini dapat menjelaskan kepada murid tentang
penggunaan ruang serta keseimbangan sesuatu lukisan atau gambar. Murid dapat
membuat perbandingan serta memahami konsep penggunaan ruang luas dan ruang
sempit melalui sekeping gambar. Pembandingan yang dibuat oleh murid melalui
gambar ini dapat diaplikasikan dalam menghasilkan lukisan berbentuk
pemandangan.
Guru perlu menjadi lebih kreatif dalam merancang strategi
pembelajaran dengan hanya berbekalkan bahan bantu berupa gambar kaku. Melalui
sebuah gambar pemandangan, guru boleh membahagikan murid dalam beberapa
kumpulan dan meminta murid untuk membuat perbincangan dalam kumpulan dan
menyenaraikan elemen dan prinsip rekaan yang terdapat dalam gambar yang
diberikan. Dalam sesebuah gambar yang dirakam melalui pelbagai teknik dan
komposisi, terkandung pelbagai elemen serta prinsip rekaan yang terdapat dalam pembelajaran
pendidikan seni visual. Secara tidak langsung kaedah pembelajaran secara
koperatif dapat diterapkan melalui sekeping gambar. Murid juga boleh di minta
untuk menerangkan tentang elemen dan prinsip rekaan yang terdapat dalam gambar.
Kepelbagaian gambar yang diberikan oleh guru turut dapat dijadikan aktiviti
dalam membuat perbandingan terhadap prinsip dan elemen seni visual yang
terdapat dalam gambar
Terdapat bahan gambar yang memberikan pengalaman secara
langsung dan tidak langsung kepada murid. Alam sekitar boleh memberikan
pengalaman langsung contohnya apabila murid membuat lawatan ke sesuatu tempat,
dia akan memahami dan mengetahui apakah bahan maujud yang ada disitu. Disamping
mengetahui keadaan sebenar di tempat yang dilawati. Pengalaman ini akan memberi
kesan yang mendalam kepada proses pembelajaran murid tersebut. Kita lebih
banyak belajar melalui pengalaman sendiri daripada maklumat yang disampaikan
oleh orang lain. Murid-murid juga akan lebih memahami dan mengingati pelajaran
yang diterima sekiranya mereka diberi peluang untuk mencuba, mengkaji dan
meneliti bahan-bahan yang digunakan. Gambar kaku yang berkaitan dengan
pengalaman murid ini dapat dijadikan bahan untuk mengayakan pembelajaran
mereka. Misalnya seorang murid pernah melawati tempat pelancongan seperti bukit
fraser yang terletak di negeri Pahang, dengan iklim yang sejuk dan pemandangan
yang berlainan, murid memahami keadaan dan situasi yang sebenar di kawasan itu.
Guru dapat membuat perbincangan dengan murid terhadap gambar tersebut, malah
murid juga dapat berkongsi pengalaman mereka, secara tidak langsung murid dapat
mengayakan pembelajaran mereka dan pembelajaran akan menjadi lebih konkrit
dalam ingatan murid. Namun bagi murid yang tidak pernah melawati tempat
tersebut, gambar tersebut dapat dijadikan asas pengetahuan kepada murid tentang
suasana di tempat tersebut. Asas pengetahuan ini akan membantu murid
mengukuhkan pembelajaran mereka apabila mereka berpeluang untuk pergi dan
mengalami sendiri suasana di tempat tersebut kelak.
Bahan bantu mengajar adalah faktor terpenting dalam
menentukan kejayaan proses pengajaran
dan pembelajaran, media ini juga berperanan untuk menimbulkan rangsangan
keinginan murid untuk mengetahui sesuatu dan menjadikan pembelajaran lebih baik
dan menarik. Guru perlu lebih bersikap kreatif dalam mengolah corak dan
strategi pengajaran. Kadangkala gambar-gambar yang dirakam ketika bercuti
bersama keluarga boleh juga diolah untuk di selaraskan dalam pembelajaran
murid. Ini kerana media pengajaran berbentuk gambar amat berguna kepada guru,
selain berfungsi sebagai bahan bantu mengajar, gambar juga boleh menjadikan
pembelajaran lebih seronok dan membentuk guru dan murid untuk menjadi lebih
kreatif dan inovatif. Fikiran dan emosi murid dapat dirangsang dengan lebih baik
untuk melibatkan diri sepenuhnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kajian yang dilakukan oleh P.J.Philips & James S.Kinder mengatakan, 83
peratus deria penglihatan digunakan dalam kehidupan seseorang murid, ini
bermakna pembelajaran yang melibatkan rangsangan deria penglihatan perlu diberi
perhatian. Guru perlu merancang dengan lebih baik dalam penggunaan sesebuah
gambar dalam proses pengajaran dan pembelajaran agar objektif pembelajaran
dapat dicapai dengan cemerlang.
No comments:
Post a Comment